Friday, January 25, 2013

Bintang Tak Selalu Ada

Nurisha melihat ke arah Aman yang sedang lena. Dengan linangan air mata, Nurisha melangkah keluar. Dengan perlahan, pintu bilik yang terkuak tadi ditutup rapi.

********************************************

"Ok, kita jumpa nanti," balas Nurisha ringkas. Nurisha memasukkan telefon bimbitnya semula ke dalam poket seluarnya. Hujan lebat, tetapi Nurisha masih tegar duduk di situ. Di situlah tempat dia dan Aman duduk bersama buat pertama kali. Di situlah tempat pertama kali tangannya digenggam lembut oleh Aman. Segalanya tergambar jelas. Nurisha memejamkan matanya membiarkan hujan memamah tubuhnya.

Malam itu mereka berjanji untuk berjumpa untuk makan malam. Niat Nurisha hanya satu, ingin mengutarakan beberapa pertanyaan yang selama ini terpendam di hatinya. Ingin berbincang tentang mereka. Ingin mendengar apa yang sepatutnya didengar dari dulu.

Selesai makan, Nurisha membawa Aman ke satu sudut, menghadap laut malam. Meski bertemankan bintang di langit, Nurisha masih boleh nampak wajah Aman, tenang, seperti tiada apa yang berlaku. Darahnya gemuruh. Tangan Aman digenggam erat, namun tiada balasan.

"Boleh i nak tanya u something?," Nurisha mula bicara.

"Ermm," angguk Aman.

"Kenapa u selalu hilang-hilang? U pergi mana?"

"I kerja"

"Kenapa u senyap je lepas i hantar msg?"

"i penat. i tertido."

Suasana senyap.

"U datang sini hari tu kan. Tak bagi tahu i pun apa2.Jenguk i pun  tak. Kenapa?"

"I ada event kelab kereta."

"U datang jauh-jauh ke sini semata-mata nak jumpa member?," Nurisha memandang tepat ke arah Aman. Aman melontarkan pandangannya jauh-jauh ke laut. Mata tidak lagi bertemu. Suasana senyap. Letih dengan pertanyaan-pertanyaan bertalu-talu seperti itu. Sudah tidak ada soalan lainkah yang mahu Nurisha tanyakan. Sudah tidak ada benda lainkah yang boleh menjadi topik perbualan mereka malam ini. Sudah berbulan-bulan tidak ketemu, tidak berhubung langsung selama tidak ketemu itu, tidak ada benda lainkah yang ingin dikongsi? Aman mengeluh di dalam hati.

Nurisha pula sudah tidak mampu bertanya, kerana dia tahu, dia tidak akan mendapat jawapan yang dia inginkan. Tiada kepastian. Tiada jawapan yang mampu melegakan hatinya. Hambar. Dia sendiri tidak pasti akan tahap hubungannya kini. Terkapai-kapai tanpa tuju. Perlahan diseka air matanya sebelum disedari Aman. Dia tidak mahu menagih simpati lagi. Biarlah dia menanggung keperitan ini. Dia memegang perutnya.

"Jom kita balik," Nurisha berjalan mendahului Aman ke kereta mereka yang terletak agak jauh dari tempat mereka duduk tadi. Aman hanya mengekor. Dia tahu, keadaan pasti akan menjadi lebih keruh dan rumit, tetapi dia tidak tahu apa yang harus dia buat. Dia sudah terlalu letih.

Sepanjang perjalanan ke arah kereta, Nurisha semakin sebak. Hatinya terasa jauh..sayu..Salahkah dia mengharapkan Aman melayannya seperti lelaki lain melayan teman wanitanya. Salahkah Nurisha memohon perhatian dan kasih sayang. Salahkah Nurisha mengambil berat dan bertanyakan apa-apa sahaja yang dilakukan Aman pada masa sekarang.

"Kita dah tak serasi," perlahan suara Aman menusuk ke dada Nurisha. Nurisha sudah tidak mampu menahan sebak. Dia tersedu-sedu. Aman mula rasa bersalah, tetapi dia hanya kaku. Tidak mampu berbuat apa. Hendak menarik balik kata-kata, sudah terlepas. Hendak memujuk, dia tidak pasti akan berkesankah. Dia hanya membiarkan Nurisha melayan perasaannya sendiri. Aman memegang stereng keretanya, dan mendengus perlahan.

Beberapa minit dibiarkan Nurisha di tempat duduk sebelah melepaskan sedihnya. Buat masa ini, itu sahaja kata-kata ikhlas yang mampu dilafazkan. Pada Aman, dia perlu jujur dalam perkara seperti ini.

Perlahan-lahan, Nurisha membaringkan kepalanya ke bahu Aman. Tangan Aman digenggam lembut. Nurisha mencium tangan Aman. Hangat. Aman membiarkan sahaja Nurisha berbuat begitu. Mungkin itu akan melegakan sedikit hati Nurisha.

"I rindu U yang dulu Aman," perlahan suara Nurisha. Sedu sedannnya masih kedengaran, namun suaranya mampu sampai ke telinga Aman. Aman mengesat saki baki air mata Nurisha. Perlahan dahi Nurisha dikucup lembut.

Malam itu mereka ke rumah Aman. Teman-teman serumah Aman sudah pulang ke kampung bercuti. Malam itu hanya Aman sendirian di rumah. Nurisha melangkah masuk ke kamar Aman, dan segalanya menjadi kelam. Kelam dalam kehangatan malam.

*********************************
Aman yang Sha sayangi..
Terima Kasih untuk segalanya,
Terima Kasih sebab bertahan dengan Sha dan tak pernah ucap selamat tinggal pada Sha.
Terima Kasih sebab faham Sha.
Terima Kasih sebab sudi terima Sha dalam hidup Aman.
Terima Kasih sebab sudi luangkan masa dengan Sha.
Terima Kasih sebab jadikan Sha princess Aman dan sayang Sha.
Sha hargai semuanya.
Jika kita memang tidak ditakdirkan bersama macam kata Aman, 'kita dah tak serasi' , Sha doakan Aman sentiasa bahgia dan berjaya dalam hidup. Kejarlah cita-cita dan kehidupan Aman.
Salam sayang,
Nurisha Zurina.

**********************************
"honnnnnn!!! honn!!!!," bunyi yang membingitkan telinga segera membuatkan Aman bangkit. Aman terus ke tingkap biliknya mencari-cari arah datangnya bunyi hon kenderaan tersebut.

"Woi, orang nak tido la!!," jerit Aman. Aman kembali ke katilnya. Dilihat Nurisha sudah tidak ada di katil. Aman memanggil-manggil Nurisha, tetapi tidak bersambut. Barangkali di dapur, tetapi juga tidak ada kelibat Nurisha.

Sehelai kertas putih terlipat rapi diletakkan di atas meja bilik tidurnya dengan sebatang pen miliknya yang diberikan Nurisha dulu. Aman membacanya. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Apa yang aku dah buat ni?," Aman terus mencapai pakaiannya yang bersepah-sepah di lantai semalam, terus menyarungnya dan mencapai kunci kereta. Aman memandu laju. Fikirannya satu, halatujunya satu, ke rumah Nurisha.

Dua jam 30 minit perjalanan, dan akhirnya Aman terpacul di hadapan muka pintu rumah Nurisha. Rumahnya kosong. Aman menelefon Nurisha. Tiada jawapan. Pesanan ringkas juga tidak berbalas sedari tadi. Aman bergerak ke tempat kerja Nurisha, mana tahu kalau-kalau ada sesiapa di sana yang tahu ke mana Nurisha pergi. Sesampainya di sana, Aman diberitahu bahawa Nurisha sudah berhenti kerja 2 hari yang lalu dan tiada siapa yang tahu ke mana Nurisha pergi. Aman mula tidak sedap hati. Aman cuba mencari Nurisha ke rumah orang tuanya, malangnya, keluarga Nurisha juga sudah berpindah rumah beberapa bulan yang lalu. Aman mula buntu.

Berbulan-bulan lamanya, Aman terus mencari Nurisha. Hampir semua rakan-rakan Nurisha Aman sudah bertanyakan tentang Nurisha. Malangnya semua mengatakan tidak tahu ke mana Nurisha pergi. Laman muka bukunya sudah dinyahaktifkan. Aman berputus asa. Mungkin ini pengakhirannya. Mungkin ini yang terbaik buat mereka. Mungkin ini apa yang dia inginkan selama ini.

Dua tahun kemudian, Aman terserempak dengan sahabat baik Nurisha di pusat membeli belah, Ani. Pandangan Ani apabila bertembung dengannya membuatkan Aman tidak selesa, seperti dia ada berbuat salah. Aman tidak berpuas hati apabila salam dan tegurannya tidak diendah Ani. Lantas Aman menahan Ani.

"Kau dah kenapa, macam aku ada buat salah je. Aku tegur pun muncung bukan main tajam."

"Hei, kau tu yang dah kenapa. Pasal kau la Nurisha jadi macam ni!," herdik Ani. Matanya bulat memandang Aman. Dadanya turun naik menahan amarah.

"Nurisha?," Aman kerut dahi.

"Kenapa? Kau dah lupa? Kau dah lupa sapa dia?"

"Aku dah lama tak jumpa dia lah wei. Dah lama lost contact pun. Rilek la, cakap macam nak gaduh je."

"Kau ikut aku sini Man!,"Ani menarik tangan Aman laju ke keretanya.

"Eh, eh, apa ni, ko nak kidnap aku ke apa?"

"Ikut je lah!," Ani bertegas. Aman menurut sahaja. Wajahnya mula berombak kerut. Tidak faham apa yang cuba disampaikan oleh Ani.

Mereka tiba di satu tempat asuhan kanak-kanak. Di situ mereka mengintai kelibat seorang bayi, yang mula merangkak perlahan. Memegang satu kereta mainan sebesar badannya. Leka bermain tanpa mempedulikan kanak-kanak lain yang seusianya di kawasan itu.

"Kenapa bawak aku pergi sini? Nurisha ada sini ke apa?," Aman mula berteka-teki.

"Ko nampak budak pakai baju merah tu?."

"Mana?,"Aman mencari-cari budak yang ditunjuk Ani tadi. Bukan seorang dua kanak-kanak yang di tempatkan di pusat asuhan ini. Aman masih memerhati kanak-kanak mengikut jari telunjuk Ani.

"Yang pakai baju merah dengan kereta mainan tu," balas Ani.

"Baby baju arsenal tu?," tanya Aman. Ani mengangguk lemah.

"Dah kenapa? Nak suruh aku ajar budak tu main bola power macam Arsenal ke apa?," Aman tergelak kecil. Ani membulatkan matanya, merah. Disebabkan Ani kelihatan sangat serius, Aman kembali senyap.

"Baby tu lahir setahun yang lepas. Terus ditempatkan kat sini. Aku mula nak jaga, tapi, laki aku kata tak payah lah, anak aku pun dah ramai, tak mampu aku Man. Kalau tak aku dah bela dah dia," Ani memandang Aman sayu.

"Sudahlah, jom balik," Ani mula membuat langkah pusingan untuk ke kereta semula.

"Eh, kejap, motif apa ni? Aku tak paham. Ko bawak aku sini, tunjuk baby, lepas tu mengeluh anak banyak la apa la, lepas tu balik? Membazir masa aku tau tak," Aman menggeleng kepala.

"Kau tak tahu ke Aman," langkah Ani terhenti. Ani menoleh ke arah Aman. Matanya mula berkaca. Aman tidak sedap hati. Adakah kata-katanya tadi terlalu kasar hinggakan boleh menyebabkan seorang perempuan menangis?

"Nama budak tu Aman. Sama nama macam kau. Dia dilahirkan tahun lepas, tak silap aku 8 Januari lepas."

"Oh..ok,"balas Aman pendek. Dia tidak mahu bercakap panjang. Takut kalau-kalau Ani menangis tiba-tiba, nanti dia akan dituduh melakukan kekerasan pada wanita pula. Dia yang susah nanti.

"Aman, Aman tu anak Nurisha Man!,"terang Ani hampir terjerit. Digoncangnya tubuh Aman berharap Aman segera tersedar, dan usah angankan mimpi sampai ke syurga. Hidup yang tenang dan senang tidak selalu ada.

Aman terdiam seketika. Kepalanya ligat berpusing. Fikirannya melayang jauh.

Anak.

Nurisha.

Anak.

Nurisha.

Silih berganti perkataan itu di fikirannya. Aman tidak mengerti.

"Aku tak paham Ani. Apa kaitannya dengan aku?," Aman terduduk. Berteka-teki sendiri. Adakah? Adakah? Adakah?

"Ye, Aman tu anak kau dan Nurisha. Nurisha menghilangkan diri setahun sebab dia mengandungkan anak kau. Dia tahu kau tak mampu beri komitmen. Dia tahu kau sibuk. Tapi dia nak jaga anak ni. Dia bertahan 9 bulan seorang diri Man. Dia hidup tanpa sokongan siapa-siapa. Bila dia dah sarat barulah aku tahu mana dia tinggal. Selama 9 bulan tu, dia ada je dekat2 kita, dia selalu perhati kau pergi balik kerja, dia ada dengan kita Man. Cuma kita yang tak perasan dia, termasuklah aku kawan baik dia ni. Dia derita sendiri Man," rintih Ani tersedu sedan. Mutiara jernih semakin mencurah-curah. Tidak cukup dengan kain tudungnya, habis lengan bajunya menjadi mangsa sapuan air mata yang mengalir deras.

Aman terdiam. Terbungkam. Lidahnya kelu. Dadanya sarat. Sakit. Pedih. Terkilan. Semuanya. Dia segera alihkan padangannya pada bayi tadi. "Aman...anak ayah..," Aman melangkah segera mendapatkan bayinya. Bayi Aman terus dirangkul, dipeluk dan dikucup. Pengasuh di kawasan tersebut terpinga-pinga melihat Aman, tetapi setelah melihat Ani memberi isyarat tenang, pengasuh tadi membiarkan Aman dengan bayi tersebut.

"Mana Nurisha? Mana Sha Ani? Aku nak jumpa dia sekarang!," bentak Aman. Bayi Aman masih dirangkulannya.

Ani diam.

"Aku tanya, mana Sha. Jawab la Ani!," Aman meninggikan suaranya. Ani hanya menangis. Dia tidak mampu meluahkan dari mulutnya. Segalanya terlalu berat. Ani mula rasa bersalah membocorkan segala rahsia sahabat baiknya sedang dulu dia sudah berjanji ini hanya akan menjadi rahsia dia dan Nurisha. Tapi Ani sudah tidak mampu menahannya lagi. Setiap hari melawat bayi Aman, dan kadangkala terserempak Aman berhampiran kawasan tersebut. Tidak adil bagi seorang bayi ini untuk tidak mengenali siapa ayahnya sedangkan ayahnya ada berhampirannya. Tidak adil bagi Nurisha untuk terus menerus menanggung segala keperitan seorang diri. Tidak adil untuk Aman yang tidak tahu apa-apa tentang Nurisha dan anak yang dilahirkan Nurisha yang juga merupakan darah dagingnya.

"Nurisha meninggal sebab kemalangan. Pada masa tu dia kritikal, tetapi dia kuat, dia hilang banyak darah, tapi dia tetap bertekad untuk lahirkan anak dia ke dunia ni." Berderai pecah tangis mereka berdua. Aman tidak dapat menahan sakit di dadanya. Dihentak kepalanya ke dinding. Satu penyesalan yang tiada berguna. Sebak.

"Sudahlah. Aku nak, kau jagalah dia Aman. Ambil semua barang-barang peninggalan Nurisha untuk Aman ni. Kau akan kenang Nurisha dengan ini. Sebelum Aman lahir lagi, dia dah sediakan semua kelengkapan Aman, dia mahu Aman ikut jejak langkah ayahnya yang berjaya. Dia mahu Aman sukakan semua benda yang ayahnya suka. Dia belikan berpuluh-puluh helai baju bayi arsenal untuk Aman, dia belikan banyak kereta mainan untuk Aman. Aku ingat apa dia kata pada aku, Aman suka kereta, suka kelab kereta dia, Aman suka bola, Aman suka Arsenal, lepas tu dia gelak sorang-sorang,aku tahu dia rindukan kau, tapi mungkin korang tak ada jodoh. Tuhan lebih sayangkan dia," terang Ani sambil mengusap-usap kepala bayi Aman.

Aman tidak terkata. Dia hanya mampu menangis. Nasi sudah menjadi bubur. Segala teka teki sudah terlerai. Pencarian yang telah lama tamat.

"Sha..u pergi mana Sha..Balik lah......,"rintihnya di dalam hati.

*****************************************

"I rindu U yang dulu Aman..."

"Terima Kasih untuk sepanjang kita bersama"

"I rindu U Man..."

"Terima Kasih Aman sebab selalu di sisi Sha.."

********************************************

"Silih berganti ayat-ayat cintamu sayangku Nurisha. Maafkan Man. Damailah kau di sana sayang. Terima Kasih melahirkan putera kita,Aman."

No comments:

Post a Comment