Jumaat - Kelas postpone ye. Akan diadakan pada 25 September nanti.
Sabtu - Cuti.
Ahad - Cuti
Isnin - Cuti Hari Malaysia
Dia mencongak-congak jadual yang sangat loose. Bukanlah tidak padat jadual semester ini, cuma lab experiment untuk minggu pertama dan kedua tak bermula lagi dan kelas-kelas pun belum sepenuhnya memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran memandangkan ada sesetengah pensyarah yang sibuk dan masih berada di luar negara.
JUMAAT
"Sudah lama tidak dengar khabar berita. Apa salahnya kali ini aku yang bertanya," bisik dia. Gerak tangan semakin laju menekan punat-punat nombor telefon.
bit..bit..bit..cukup lapan, sembilan kali berdering, dia letak. Sudah menjadi tabiat mengira bit telefon semasa mendail, kerana dia tidak mahu sia-sia kredit akan ditolak kerana peti simpanan suara, apabila masuk bit ke sepuluh tidak diangkat panggilan.
"mungkin dia tidak dengar barangkali. Tak mengapa, cuba lagi," pujuk hati dia. Dan sekali lagi mendail nombor yang sama. Nombor yang kerap bertukar entah apa alasannya dia sendiri tidak mengerti.
bit..bit..bit..juga masih tidak bersahut panggilan tersebut.
Dia termenung seketika, sejenak ,mereka-reka sebab positif dibalik kegagalan tadi.
"mungkin dia tengah solat kot," dia memejam mata dan melepaskan nafas perlahan-lahan. Dilihat jam di tangan. Sudah masuk waktu. Sudah lama.
"tak mengapalah.malam sikit cuba lagi," dia cuba mengukir senyuman. Tawar. Dan hari itu menjadi hari yang tawar baginya.
Masa seakan merangkak melewati. Terasa berat mahu menunggu malam.
Akhirnya mentari beralah jua dengan rembulan. Begitulah kitaran mereka, tidak mungkin saling bertindih.
bit..bit..bit..masih tidak berjawab. Dia terasa cemas. Mungkinkah sesuatu yang buruk berlaku? Untuk kesekian kalinya, masih mencuba, dan jawapan yang sama, selepas bit ke sembilan masih lagi tiada suara di balik corong telefon tersebut. Dia mula ragu. Mula cemas. Namun digagahi menggarap fikiran sepositif mungkin.
dan kali ini..."mungkin sedang sibuk barangkali. sibuk. ya sibuk mungkin.'' Dia cuba menenangkan diri. Hasratnya masih sama. Masih mahu bertanya khabar. Mungkin hari ini bukan harinya. Mungkin esok. Esok barangkali.
SABTU
bit..bit..bit..dan kali ini ada suara menjawab. "maaf, talian anda tidak dapat disambungkan,sila tinggalkan mesej anda selepas bunyi bip". Dia menghela nafas panjang. Mungkin kali ini dia tidak lagi mampu bersabar, tidak lagi mengira bit seperti selalu.
Tidak mengenal erti putus asa, atau dengan kata lain masih mampu mengajar diri erti kesabaran, dia mendail untuk kedua kalinya hari ini.
Dan seperti biasa. Juga bunyi bit tanpa jawapan. Hampa.
"petang nanti lah," tegas,pantas,dan ringkas keputusan dia. Menunggu mentari gelincir ke timur.
bit..bit..bit.."maaf,talian anda tidak dapat disambungkan, sila tinggalkan mesej anda selepas bunyi bip". Masih lagi dengan jawapan yang sama.
Dan..dia masih lagi dengan pendirian. Masih lagi mahu mencuba. Mana tahu kali ini panggilan terjawab. Namun masih kosong. Menguji kesabaran.
"mungkin sedang berada di kawasan tidak dapat mengangkat telefon sekarang. Mungkin di padang. Mungkin sedang bermesyuarat. Semalam pula mungkin terlalu letih, tidur awal, tak dapat angkat," mungkin...mungkin...segala kemungkinan berada di situ. Dan dia menerima bulat-bulat segala kemungkinan yang direka.
"malam nanti pasti ok," kata putus yang positif. Penuh harapan tanpa kepastian.
Dan malam..
"Ini adalah peti simpanan suara bagi..," dia terus menekat punat merah. Mematikan talian.
Cuba lagi dan lagi.
Dan kali ini mungkin telefon di sana sudah penat berdering. Mungkin sudah tiada bertenaga. Talian terus tidak dapat disambung. Tiada langsung bunyi suara mahupun bit dari talian.
"bateri habis ni..biasala..," masih dengan nada yang sama, cuma riak sudah tidak setenang dulu. Segalanya mungkin. Kemungkinan yang baik mahu pun yang buruk.
AHAD
bit..bit..bit...kali ini berdering kembali. Barangkali mungkin sudah dicas handphonenya sebab itu sudah mampu berdering. Namun masih tiada jawapan. Seperti biasa. Biasa.
Sekali. Dua kali. Tiada jawapan.
"mungkin masih tidur, penat agaknya, petang nantilah," satu lagi harapan palsu. Satu lagi kemungkinan. Sekali lagi kesabaran.
bit..bit..bit..cukup lapan kali, satu suara dari corong menyahut. Tidak dikenali. Aneh. Lain macam. Ragu. Semuanya berkecamuk dalam jiwa dia. Ada apa-apakah yang tidak baik berlaku padanya? Oh tuhan..janganlah kau duga.
"hello!," kasar suara menyahut.
"err..hello, ***** ada? ," dia bertanya dengan sopan mengharap balasan yang juga positif. Atau paling tidak katakanlah sesuatu tentangnya. Adakah dia baik-baik sahaja.
Senyap.
Sunyi.
Soalan dia tidak berjawab. Ya atau tidak atau siapa ni atau apa sahajalah, tidak kedengaran.
1 saat
2 saat
3 saat....
dan panggilan tamat. Sebuah penantian dan kesabaran yang penuh dengan kekecewaan. Masih kekal misteri. Masih tertanya-tanya. Namun dalam kesakitan yang teramat dalam, masih menyebut-nyebut sebarang kemungkinan yang positif supaya dia tidak berfikir negatif meski jauh di sudut hati berkata;
'segalanya cukup sampai di sini, sampai bila harus hidup berdasarkan kemungkinan positif yang direka sendiri, sampai bila harus terkapar-kapar tanpa tunjang, sampai bila harus berteka-teki sendiri, sampai bila harus berharap, sampai bila harus patuh dan taat, sampai bila harus menanti, sampai bila harus menahan rasa kecewa, sampai bila harus tersenyum di balik duka, sampai bila?'
Kesabaran dia ada BATASNYA.
Keetiaan dia ada BALASANNYA.
Kasih Sayang dia ada NILAINYA.
Ambil berat dia ada HARGANYA.
*********************************
ADA BEZA KESABARAN DENGAN KEBODOHAN. JANGAN BIAR DIRI ANDA JADI BODOH DENGAN SABAR UNTUK BENDA YANG TIDAK PERLU.
*********************************